Sabtu, 14 Februari 2009

air mata Seorang laki


Senario wanita menangis adalah perkara biasa. Mungkin kerana ramai menganggap golongan wanita terlalu sensitif. Tetapi, bagaimana pula jika lelaki yang terkenal dengan sifat macho dan ego menitiskan air mata?

Adakah air mata akan menyebabkan lelaki hilang ciri-ciri maskulin dan menjatuhkan keegoannya? Walaupun pada hari ini, ramai lelaki lebih terbuka terutamanya dalam membicarakan tentang perasaan, tetapi kebanyakannya menolak untuk menangis di hadapan orang lain.

Dalam pada itu, ramai pakar psikologi menggalakkan seseorang menangis. Menurut pakar psikologi, menangis adalah salah satu cara untuk melepaskan tekanan diri, menenangkan jiwa dan meluahkan perasaan.

Macho menyelami pendapat jejaka mengenai sejauh mana mahalnya air mata kaum Adam?

* Muhammad Sharezzahadi Koh (Adi), 22, produksi bebas.

Lelaki menangis bergantung kepada situasi. Misalnya, perihal berkaitan percintaan, lelaki yang tergolong sebagai anak manja atau yang kehilangan seseorang yang begitu disayangi akan lebih mudah menangis.

Saya juga mudah mengalirkan air mata apabila terlampau stres kerana banyak kerja perlu disiapkan sehingga saya gagal menanggung bebanannya.


* Tengku Lefizulasyrifie Putra Tengku Alaudin (Eifiz), 21, pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan.

Menangis tidak perlu dilakukan di hadapan orang ramai. Lelaki akan menangis saat dia duduk berseorangan ataupun bersama seorang rakan yang sudi mendengar isi hatinya.

Setiap lelaki mempunyai egonya sendiri. Keegoan lelaki tidak akan runtuh disebabkan air mata. Ini kerana manusia dicipta untuk menangis dan ada masanya lelaki terpaksa mengalirkan air mata.

* Zulfadli Nasir (Zul), 22, bisnes

Bukan disebabkan anak manja, tetapi lelaki mempunyai perasaan yang mudah tersentuh dalam apa jua perkara. Bagi saya, tidak perlu malu untuk menangis, kerana kita dikurniakan naluri dan perasaan untuk diekspresikan.


* Jehan Miskin, 30, pelakon.

Saya akan menangis bila tonton filem sedih. Bagi saya, ada masanya seorang lelaki perlu menangis, mungkin kerana terlalu emosi. Tetapi kalau disebabkan semua perkara, kita menangis, tak rock la...Biasanya, lelaki menangis seorang diri, dan ia baik untuk kesihatan.

* Ebi, 25, penyanyi AF5

Sukar seorang lelaki mengalirkan air mata disebabkan sifat ego. Lelaki mempunyai hati dan perasaan. Terdapat banyak perkara yang boleh menyebabkan seorang lelaki menangis. Bukan kerana gagal dalam bercinta, tetapi disebabkan kematian insan yang paling disayanginya. - NOOR HASLIZA NUS

Tidak ada komentar:

Poskan Komentar